Ramadhan sudah masuk fasa kedua. Muhasabahkah kita prestasi ramadhan kita saat ini..Semoga target tercapai,  taqwa digapai. Persoalan yang bermain di kepala kita, mengapa kita perlu mencapai taqwa.? apakah sebenarnya taqwa yang sering diulang-ulang itu?

Ya, dengan ada nya taqwa, kita akan menjaga iman. Dengan adanya iman, kita akan menjaga peribadi. Menjaga peribadi daripada melakukan maksiat. Maksiat lidah, mata, dan seluruh anggota tubuh badan kita. Kita perlu sedar bahawa tujuan kita ini dijadikan tidak lain adalah untuk beribadah kepada sang pencipta. Perlu kita sedari bahawa segala macam nikmat yang Allah berikan adalah untuk digunakan bagi melunaskan ibadah kepada yang maha esa.

Saat Ubaid bin Kaab ditanya oleh saidina umar alkhatab apakah itu taqwa. Jawab ubaid dalam bentuk persoalan. Adalah kau pernah melalui jalan yang penuh duri-duri ? dan apakah yang kau akan lakukan? Jawab umar : Aku akan melalui dengan penuh hati-hati. Ya . itu yang dimaksudkan dengan taqwa. (Tafsir Ibn Kathir 1/163)
Dunia yang kita pinjam ini penuh dengan duri-duri ujian. Kerana dunia yang kita tinggal ini adalah satu perjalanan untuk mencapai syurga. Begitu sukar bukan untuk kita sampai di matlamat akhir kita.. Namun sebaliknya, jalan untuk ke neraka Allah itu senang sekali untuk kita sampai.

Oleh itu, perisai taqwa inilah sebenarnya yang akan membantuk kita untuk mencapai matlamat akhir itu nanti. Ibn Mas'ud ada menyebut bahawa taqwa adalah kita mentaati Allah dengan tidak melakukan maksiat kepadanya, kita mengingati Allah dengan tidak melupakanya, dan kita mensyukuri segala nikmat yang Allah berikan dengan tidak mengkufurinya.
Allah berfirman di dalam surah ibrahim ayat 7 maksudnya : Jika kamu bersyukur aku akan tambahkan lagi nikmat yang diberikan dan jika kamu kufur sesungguhnya azabku sangatlah pedih.
Kita menamakan bulan ramadhan ini dengan pelbagai nama. Antaranya adalah bulan tarbiah. Bulan yang mengajar, mendidik, mengingati. Justeru bulan yang dijanjikan padanya pelbagai bentuk ganjaran tidak perlu untuk kita sia-siakannya. Kita mengambil contoh di dalam kehidupan harian kita, jika suatu ketika sebuah pasaraya besar membuat jualan murah ataupun pontongan harga yang sangat rendah, adakah kita akan melepaskannya, dengan pada jalan dilencongkan khas untuk ke pasaraya tersebut..Nah, semestinya tidak akan dilepaskan. Begitu jualah yang berlaku di bulan yang mulia ini. Allah mudahkan segalanya.. cumanya kita tidak dapat lihat dengan mata kasar kita.
Seperti yang diriwayatkan oleh nasai : Wahai manusia, didatangkan kepada kamu bulan ramadhan, difardhukan kepada kamu untuk berpuasa, dibuka pintu rahmat (syurga), ditutup pintu neraka, dibelenggu segala syaitan, dan padanya terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan, dan barangsiapa yang diharamkan untuk mendapat kebaikan maka sememangnya dia tidak memperolehnya.
 Namun kita ini tidak mahu untuk mengejarnya kerna alasan tidak merasai, tidak melihat..Nah, kalau kita fikirkan cabutan bertuah yang bernilai ribuan ringgit misalanya kita sanggup untuk menanti walaupun tidak diketahui kita akan memperolehnya, namun nikmat Allah yang terang-terang dijanjikan kita lupai..Semoga kita ini tidak tergolong dari hambanya yang pelupa.

Rebutlah peluang untuk melipat gandakan usaha untuk beribadat kepadanya. Mohonlah taubat yang bersungguh. Lakukan sunah-sunah di bulan ramadhan yang sering di sampaikan oleh pernceramah. Supaya amalan itu cocok dengan amalan nabi kita muhammad s.a.w.. Juga perbanyakkan bacaan al-quran, dan kita sentiasa untuk solat tarawikh walaupun terpaksa melakukannya sendirian..Jauhkan aktiviti-aktiviti negatif seperti mengumpat, bergaduh, mencerca kerana ianya akan menjadi sia-sia lapar dan dahaga kita di bulan yang mulia ini..

*Berpesan-pesanlah kepada kebaikan semoga sama-sama kita beroleh manfaatnya..


11. Memperbayakkan doa sebelum berbuka.

Ibn Umar r.a berkata : Apabila berbuka puasa, Nabi s.a.w akan membaca : ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
Maksudnya : Hilanglah segala kehausan, segala urat-urat telah basah dan semoga tetaplah beroleh pahala dengan izin Allah. ( Hadis riwayat Abu Daud)

Abdullah bin Umar r.a berkata : Apabila berbuka bacalah :
 اللهم إني أسألك برحمتك التي وسعت كل شيء أن تغفر لي
Maksudnya : Ya Allah sesungguhnya aku memohon rahmat-mu yang meliputi segala sesuatu agar engkau mengampunkan aku ( Hadis riwayat Ibn Majah)

Sabda nabi s.a.w maksudnya : Sesungguhnya doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa itu ialah ketika dia berbuka. (Riwayat Ibn Majah)

12. Berbuka puasa dengan Rutab, Tamar, atau air

Anas bin Malik r.a berkata maksudnya : Rasulullah berbuka puasa sebelum solat (Maghrib) dengan rutab, Jika tiada rutab, baginda akan berbuka dengan tamar, dan jika tiada ramar baginda akan meneguk beberapa teguk air. (Hadis riwayat al-Tirmizi)

13. Segera mengerjakan solat maghrib
Berdasarkan hadis sebelumnya baginda menyegerakan solat maghrib. Namun sekiranya makanan sudah terhidang sunah untuk menjamah makan. Setelah itu segeralah untuk solat maghrib.

Sabda baginda : Apabila telah terhidang makan malam sedangkan iqamat telah dilangsungkan atau solat telah didirikan utamakan makan malam. Janganlah sesorang itu tergopoh gapah menghabiskan makanan itu sehinggalah diea selesai dalam keadaan tenang ( hadis riwayat al-Bukhari)
14. Berbuka secara sederhana.
Maksudnya : Anak adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberi kekuatan kepadanya), sekiranya tidak mustahil (boleh dilakukan), suaplah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan ( Hadis riwayat al-Tirmizi)

15. Menjamu orang berbuka

Maksudnya :Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang yang berpuasa iaitu pahala orang yang berpuasa tidak dikurangkan walau sedikit. (Hadis riwayat al-Tirmizi)
16. Mengerjakan Solat tarawikh

Rasulullah bersabda : Sesiapa yang beribadah pada malam Ramadhan dengan keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, dosa-dosanya yang telah lalu akan diampunkan. (Hadis riwayat Muslim)
17. Berusaha untuk dapatkan lailatul qadar

Sabda Nabi s.aw. : Carilah lailatul qodar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadhan. (Hadis riwayat al-Bukhari)

Sabda Nabi s.a.w : carilah lailatulqadar pada sepuluh malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah dan tidak mampu ,janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir (Riwayat Muslim)
 18. Beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan.

Aisyah r.a berkata : Apabila masuk sepuluh (malam terakhir Ramadhan) Rasulullah s.a.w akan mengejutkan ahli keluarganya dan mengikat kainnya (menghidupkan malam) (Hadis riwayat Muslim)
Aisyah berkata : Sesungguhnya nabi s.a.w sentiasa melakukan iktikaf pada sepuluh yang terakhir di bulan ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda (Riwayat al-Bukhari) 
Semoga Ramadhan kali ini dapat mengubah kit yang sebelum ini dengan kelalaian dan kemaksiatan kepada Allah.Paling utama adalah mengamalkan sunah nabi s.a.w yang sahih..

Aisyah r.a berkata maksudnya : Nabi s.a.w telah ditanya : Apakah amalan paling disukai oleh Allah? jawab baginda : Amalan yang dilakukan secara berterusan walaupun sedikit. Sabda baginda : Kamu hendaklah beristiqamah terhadap segala amalan yang kamu lakukan menurut kemampuan masing-masing (Hadis riwayat al-Bukhari)



Ramadhan makin mendekati. Bulan yang penuh rahmat, maghfirah, dan pelepasan dari api neraka ini perlu diusahakan untuk memanfaatkannya.. Ingin aku berkongsi kali ini sebagai peringatan bersama sunah-sunah yang mungkin kita ter'lupa' laksanakan dek kerana kedatangannya hanya setahun sekali.


  1. Berdoa ketika melihat anak bulan
Baginda nabi memerintahkan sahabat untuk membaca doa tika melihat anak bulan
اللهم أهلله علينا باليمن والإيمان والسلامة والإسلام ربي وربك الله
Maksudnya : Ya Allah munculkan anak bulan ini ke atas kami dengan membawa keberkatan, keselamatan dan Islam. Tuhanku dan tuhanmu adalah Allah.
( Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunan Tirmizi)


2. Sahur

Sabda Nabi S.a.w maksudnya : Beza antara puasa kita dan puasa ahli kitab ialah makan sahur.(Riwayat Muslim)

Sabda nabi lagi, maksudnya : Barakah ada dalam 3 perkara : al-Jamaah ( tidak meninggalkan jemaah muslimin), bubur, dan sahur. ( Hadis riwayat al-Tobrani dalam Mu'jam Kabir)

3. Melewatkan Sahur

Menurut Anas, Zaid bin Thabit r.a berkata : Kami makan sahur bersama Nabi S.a.w kemudian baginda berdiri untuk solat, Aku berkata : berapa lama antara azan dan sahur, Beliau menjawab : Kira-kira (membaca) 50 ayat. ( Hadis riwayat al-Bukhari)

4. Meninggalkan kata-kata keji dan perbuatan jahat 

Baginda nabi bersabda maksudnya :
 Puasa adalah perisai. Oleh itu janganlah seseorang mengungkapkan perkataan yang keji atau berbuat sesuatu perkara yang jahil(menyalahi hukum). ( Hadis riwayat al-Bukhari.)

5. Tidak membalas cercaan atau makian.

Sabda Nabi s.a.w :
Puasa adalah perisai. Oleh itu, janganlah seseorang mengerjakan rafath (perkataan yang keji) dan berbuat sesuatu perkara yang jahil ( menyalahi hukum). Jika seseorang itu diperangi atau dicaci, dia hendaklah berkata . Sesungguhnya aku sedang berpuasa. (Nabi Muhammad menyebutnya dua kali). (Hadis riwayat al-Bukhari)

6. Tidak dibenarkan berbohong.

Sabda Nabi s.a.w :
Sesiapa yang tidak meninggalkan perkara dusta dan melakukan perbuatan itu terus menerus, Allah langsung tidak berhajat  (memandang) perbuatannya yang meninggalkan makan dan minum(puasa)
(Hadis riwayat al-Bukhari)

7. Bersedekah.

Ibn Abbas r.a berkata : Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dengan hal kebaikan dan kemuncak sifat derwaman baginda ditunjukkan pada bulan ramadhan.(Hadis riwayat al-Bukhari)

8. Membaca al-Quran

Ibn Abbas r.a :
Jibril menemuinya (Nabi s.a.w) pada setiap malam di bulan Ramadhan hingga bulan itu berlalu. Nabi s.a.w memperdengarkan bacaan al-Quran kepadanya.
(Hadis riwayat al-Bukhari)

9. Melakukan Umrah.

Sabda Nabi s.a.w : Apabila datang bulan ramadhan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan ramadhan menyai pahala haji. (Hadis riwayat al-Bukhari)

10. Menyegerakan berbuka.

Menurut Sahl bin Sa'd, Nabi s.a.w telah bersabda : Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selahi mereka sentiasa menyegerakan berbuka. ( Hadis riwayat al-Bukhari)

* Bersambung....
Selesaikan hutang puasa sebelum Ramadan
Prinsip : Keimanan & Ketakwaan kepada Ilahi
 
Mengerjakan tanggungjawab untuk berpuasa. Jangan pula kita menjadikan bulan itu sebagai bulan ‘pelbagai penyakit’ untuk orang yang malas berpuasa.

Ingatlah, Allah mengetahui segala niat dan perbuatan kita. Sebahagian masyarakat Islam hari ini terlupa tentang fidyah puasa. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ..dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang-orang miskin. (Al-Baqarah: 184).

Berdasarkan dalil di atas, fidyah puasa hukumnya wajib disempurnakan mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan.

Fidyah puasa (tebusan) ialah denda ke atas orang yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu ataupun kerana sengaja melewatkan puasa qada bulan Ramadan. Ia merupakan satu kadar tertentu yang wajib dikeluarkan sebagai suatu pemberian iaitu sebahagian daripada harta (makanan) kepada fakir miskin.

Sabda Rasulullah s.a.w., Bagi orang yang meninggal dunia dan tidak berpuasa selama sebulan hendaklah dikeluarkan fidyah dan berikan kepada fakir dan miskin. (Riwayat Al-Tirmizi)

Mengapa dikenakan fidyah? Dan berapakah kadarnya?

Mereka yang wajib membayar fidyah terdiri daripada beberapa golongan iaitu:

* Uzur menunaikan puasa wajib. Golongan ini terdiri daripada mereka yang sakit teruk dan tidak mempunyai harapan untuk sembuh, golongan tua yang tidak mampu berpuasa atau kedua-duanya sekali. Kadar fidyahnya ialah sehari secupak makanan kepada fakir miskin.

* Perempuan yang hamil dengan syarat dibimbangi keselamatan ke atas bayi yang dikandungnya seperti dikhuatiri berlaku keguguran. Golongan ini dikenakan fidyah dan juga wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan.

* Ibu yang menyusukan anak dengan syarat dia berasa bimbang puasa akan memudaratkan bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya. Maka wajib baginya mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah.

* Orang yang telah meninggal dunia. Hutang puasa bagi mereka yang telah meninggal dunia hendaklah disempurnakan bayaran fidyahnya oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

* Melambatkan qada puasa. Mereka yang melambatkan qada puasanya hingga melangkah ke tahun yang berikutnya dikenakan denda membayar fidyah dan wajib menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Bayaran fidyah akan berganda mengikut jumlah tahun yang ditinggalkan.
 


Nisfu Syaaban sudah menghampiri..Terdapat pelbagai amalan yang cuba disandarkan kepada nabi dengan menyatakan amalan ini dilakukan oleh baginda.. Namun kesahihannya tidak diketahui hujung pangkalnya. Sekadar memetik artikel Dr Asri sebagai pencerahan..

"Terdapat hadith sahih mengenai kebaikan malam nisfu Syaaban, tetapi amalan-amalan tertentu khas untuk malam tersebut adalah tidak sabit daripada Nabi s.a.w. Antara hadith yang sahih mengenai nisfu Sy`aaban adalah:
يطلع الله تبارك وتعالى إلى خلقه ليلة النصف من شعبان فيغفر لجميع خلقه إلا لمشرك أو مشاحن
“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain). Al-Albani mensahihkan hadith ini dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah. (jilid 3, .m.s. 135, Riyadh: Maktabah al-Ma`arf).
Hadith-hadith tentang Nisfu Sya’ban tidak mengajar kita apakah bentuk amalan khusus malam berkenaan. Oleh itu amalan-amalan tertentu pada malam tersebut seperti baca yasin sempena Nisfu Sya’ban, solat-solat khas tertentu adalah bukan ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca do`a tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan Sunnah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bid`ah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bid`ah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bid`ah, dan setiap yang bid`ah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).
Allah Lebih Mengetahui
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin