Pesta amalan telah berakhir dengan berakhirnya Ramadan dengan tawaran yang pelbagai. Namun, ia bukanlah pengakhiran untuk segala-galanya. Hal ini kerana, matlamat hidup hamba adalah untuk  beribadat dan itulah tujuan manusia dihantar oleh sang pencipta ke dunia.

Momentum untuk melakukan ibadat akan menaik dan menurun. justeru, keperluan untuk memelihara momentum sewaktu di bulan Ramadan untuk diteruskan. Al quran menjelaskan cara bagaimana untuk mengekalkan momentum tersebut. Ia dinamakan sebagai istiqamah. Perkataan istiqamah ini menjadi beban besar di kepala Nabi S.a.w. Hal ini diceritakan di dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas:

"Seorang sahabat telah bertanya kepada Rasulullah apakah yang menyebabkan Rasulullah tua beruban. Kata Nabi: Aku telah diubankan oleh surah Hud"

 Tiada tanggapan mahupun andaian yang bisa membantu seseorang untuk beristiqamah melainkan menuruti dengan patuh rukun yang ditetapkan oleh Allah di dalam surah Hud ayat 112 hingga 115. Rukun pertama yang ditetapkan oleh Allah bagi memenuhi syarat istiqamah adalah jangan kamu  melampau (ولا تطغوا). Telah wujud dikalangan masyarakat kita yang cenderung untuk melakukan perkara yang melampau di dalam agama dengan anggapan bahawa amalan tersebut boleh membawa kepada darjat taqwa. Al quran telah menceritakan kisah kaum bani israel yang melampau dalam kefahaman mereka terhadap agama sehingga Allah menghancurkan kaum tersebut.


Cerita sahabat yang ingin solat malam tanpa tidur, puasa tanpa iftar, dan beribadah tanpa nikah dicela oleh nabi kerana itu bukan perbuatan manusia yang bertuhan. Jika dilihat dari sudut akal, apa salahnya, namun agama bukan disukat menggunakan akal tetapi bersandarkan dalil.Perbuatan mengikut dalil al quran dan as sunnah menjauhkan diri daripada perbuatan yang melampau.

 Rukun kedua yang diajar oleh Allah adalah (ولا تركنوا إلى الذين ظلموا) iaitu jangan cenderung kepada
orang-orang yang zalim. Kecenderungan boleh dibahaskan dalam dua keadaan. Keadaan yang
pertama adalah kecenderungan hati dan emosi kepada manusia yang berlaku zalim. Manakala kecenderungan yang kedua adalah cenderung kepada manusia zalim iaitu kebergantungan kepada penzalim.


Siapa manusia yang zalim? Penzalim boleh jadi orang bukan islam yang menindas, ia juga boleh berlaku di kalangan muslim yang juga berlaku zalim. Manusia yang zalim adalah manusia yang mensyirikkan tuhan, melakukan maksiat dan menindas hak manusia. Namun, adakah kita yang tidak  terlibat dengan kesalahan ini, membiarkan kawan kita yang berada dalam kezaliman? Kita tidak perlu untuk meninggalkan mereka, tetapi berusaha untuk membetulkan mereka dengan syarat hati kita tidak cenderung kepada perbiatan mereka. Mereka perlu didekati atas nama dakwah dengan pendekatan yang pelbagai. Paling sesuai dakwah bilhal demi untuk menjauhi kemungkaran dan kezaliman.

Sejarah menukilkan kisah konsisten atau istiqamah sahabat nabi antaranya Abu Talhah. Beliau terkenal dengan pegangan dan berjuang untuk agama sepanjang hidup beliau. Pada suatu masa, ketika beliau sakit telah datang panggilan jihad. Beliau meminta anaknya untuk mempersiapkan dirinya supaya dapat berjihad. Walaubagaimanapun, hasrat belai ditentang oleh anak-anaknya. Beliau telah membaca ayat 41 dari suraj al Taubah yang bermaksud

" Berangkatlah kamu berjuang dalam keadaan ringan ataupun berat".
Ayahmu telah berjuang bersama Rasulullah, Abu Bakar, dan Omar dan sekarang giliran kami pula keluar berjuang dan beliau diizinkan untuk berperang.

Dalam perjalanan, beliau meninggal dunia dan mayatnya hanya ditanam sembilan hari selepas itu namun anehnya tubuh jasadnya masih dalam keadaan yang baik. Kisah ini dinukilkan di dalam al asas di tafsir karangan Said Hawa. Konsisten beliau sepatutnya dicontohi oleh umat Islam pada hari ini.

"Orang yang baik adalah orang yang sanggup memulakam kebaikan. Orang yang cemerlang adalah mereka yang sanggup konsistem di atas kebaikan. Amal yang baik dan sedikit tetapi berterusan adalah lebih baik daripada yang banyak tetapi tidak berkekalan"
Momentom ibadat dapat diteruskan daripada satu bulan ibadat kepada sebelas bulan yang lain dengan menurut "petua" yang telah ditunjukkan dalam al quran yang dinamakan sebagai istiqamah. Aisyah meriwayatkan hadis daripada Rasulullah " Sebaik baik amalan adalah yang sedikit tetapi berterusan"

Abu Nawal @Kajang